Sunday, March 22, 2009

KEJOHANAN GOLF MSSM DI BUKIT JALIL & KINRARA GOLF CLUB



Pada 17-19 Mac yang lalu Kejohanan Golf MSSM peringkat kebangsaan telah diadakan di Bukit Jalil Golf Club(peserta lelaki) dan Kinrara Golf Club(peserta wanita). Dalam kejohanan ini seorang pelajar dari sekolah saya iaitu Vivienne Chin dalam kategori perempuan bawah 15 tahun telah mewakili Sabah ke kejohanan tersebut. Beliau telah menjadi juara bagi Kategori perempuan bawah 15 tahun dan juga telah menjadi Johan keseluruhan pemain perempuan.

Thursday, March 12, 2009

Harap peralihan jawatan PM lancar

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berharap peralihan kepimpinan Perdana Menteri daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak bulan depan berjalan lancar dan tidak mengganggu agenda pembangunan negara.

Tuanku Mizan merakam penghargaan kepada Abdullah atas kepimpinan dan segala sumbangan terutama dalam isu-isu pendemokrasian, akauntabiliti, integriti, pembanterasan rasuah, pengukuhan institusi kehakiman dan pendekatan Islam Hadhari.

"Beta maklum bahawa Perdana Menteri akan menyerahkan kepimpinan negara kepada Timbalan Perdana Menteri pada bulan depan setelah menerajui negara sejak 31 Oktober 2003.

"Beta berharap peralihan kepimpinan ini akan berjalan lancar agar agenda pembangunan negara dapat diteruskan," titah Seri Paduka ketika merasmikan persidangan Parlimen bagi penggal kedua di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Tuanku Mizan turut merakamkan penghargaan kepada semua wakil rakyat, anggota perkhidmatan awam, tentera, polis dan seluruh rakyat yang bersama-sama menyumbang kepada pembangunan, kemakmuran dan keselamatan negara.

Seri Paduka bertitah, semua pihak hendaklah meningkatkan usaha menyokong kerajaan bagi menangani cabaran terutama yang timbul akibat kelembapan ekonomi global.

Yang di-Pertuan Agong bertitah, tanpa sokongan padu semua pihak, segala usaha tersebut tidak akan berjaya.

Dalam pada itu, Tuanku Mizan juga mengingatkan supaya ahli-ahli Dewan Rakyat dapat menunjukkan perilaku yang terpuji dalam Dewan.

Seri Paduka sedih dengan perilaku yang tidak sepatutnya di kalangan wakil rakyat pada sesi persidangan yang lalu kerana ia memberi imej negatif kepada ahli-ahli Parlimen dan Dewan Rakyat khususnya serta negara amnya.

Sehubungan itu, Tuanku Mizan meminta ahli-ahli Parlimen supaya sentiasa mematuhi dan menghormati peraturan-peraturan tetap Dewan.